Sep 7, 2009

Arkib terima Anugerah Jikji Dunia


SEPANG 6 Sept. - Arkib Negara buat pertama kalinya diumumkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai pemenang Anugerah Peringatan Jikji Dunia 2009.
Arkib Negara merupakan pemenang ketiga anugerah berprestij itu selepas Perpustakaan Kebangsaan Czech (2005) dan Arkib Audio- visual Austria (2007).
Kejayaan itu membolehkan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil membawa pulang hadiah wang tunai ASD30,000 (RM105,000) pada satu majlis di bandar Cheongju, Korea Selatan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut diadakan sempena sambutan hari Jikji yang diadakan pada 4 September setiap tahun.
Sidek ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berkata, pemilihan Arkib Negara sebagai pemenang berdasarkan sumbangannya dalam program pengembangan, pendidikan dan latihan pemuliharaan bahan khazanah warisan di Asia.
''Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha Arkib Negara selama ini dalam memulihara rekod dan khazanah warisan dunia.
''Kita berbangga dengan kejayaan ini kerana Malaysia berjaya mengalahkan arkib- arkib di negara lain," katanya.
Anugerah Peringatan Jikji Dunia diadakan sebagai memperingati pendaftaran Jikji iaitu buku cetakan besi tertua di dunia yang dihasilkan pada tahun 1377 di Cheongju.
Anugerah itu diberikan setiap dua tahun sekali kepada individu atau organisasi yang memberi sumbangan penting kepada usaha pemuliharaan bahan khazanah warisan di peringkat kebangsaan, serantau atau dunia.

Utusan Online. 7 September 2009/17 Ramadhan 1430

No comments: