Mr Nizam, pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Perdana
Jan 30, 2009
Kemalangan Di Lampu Isyarat Puncak Perdana
Baru sebentar tadi berlaku kemalangan di lampu isyarat berhadapan UiTM Puncak Perdana. Kebetulan saya dan En.Nazri IS221 baru pulang dari urusan di TTDI Jaya Shah Alam. Ketika kami sampai ke kawasan kejadian, kami melihat beberapa kenderaan remuk dan seorang wanita sedang terbaring di tepi sebuah kereta Kancil bewarna biru. Menurut saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila sebuah lori Gardenia merempuh deretan kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat dari arah Puncak Alam menuju Shah Alam. Lori Gardenia terbabit dikatakan mengalami kerosakan brek dan selepas merempuh deretan kenderaan terus terjunam ke dalam parit kira-kira 50 meter selepas lampu isyarat.
Selain dari lori Gardenia, tiga kenderaan yang dirempuh ialah sebuah kereta kancil, sebuah Mitsubishi Triton dan sebuah Perodua Kembara. Penumpang di dalam kereta Kancil yang juga merupakan saudara kepada pengawal keselamatan UiTM Puncak Perdana dikejarkan ke hospital Klang dengan ambulans. Turut berada di dalam kereta Kancil tersebut ialah anak pengawal keselamatan UiTM Puncak Perdana.
Diharapkan agar semua berhati-hati kerana telah banyak berlaku kemalangan di kawasan ini terutamanya sebelum lampu isyarat dibina.
Jan 20, 2009
Kemalangan Maut Di Puncak Perdana
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kereta yang dipandu wanita berusia 30-an terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang dari melawat anaknya yang menerima rawatan di Pusat Rawatan Subang (SMC) sebelum gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang setakat ini tidak diketahui identiti memandu kereta Kancil ketika kejadian bersama dua lagi anaknya yang berusia sembilan dan empat tahun.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum bertembung dengan sebuah Kelisa yang dinaiki sepasang kekasih.
“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum meletup lalu terbakar, namun seorang daripada anak mangsa berusia sembilan tahun tercampak keluar dan terselamat,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa yang menetap di Taman Samudera Permai 200 meter dari lokasi kejadian maut bersama seorang lagi anaknya.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong dengan kekuatan tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke tempat kejadian dan memadamkan kebakaran dalam masa kurang tiga minit.
“Mayat mangsa yang rentung selamat dikeluarkan anggota penyelamat kira-kira 30 minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat dan pasangan kekasih terbabit turut mengalami kecederaan,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online
---- Kejadian berlaku malam semalam. Seorang jiran saya kebetulan berada di tempat kejadian memberitahu bahawa ia berlaku di simpang Cahaya SPK, kira-kira 50 meter dari lampu isyarat Puncak Perdana. Mangsa kemalangan yang maut ialah wanita berbangsa Melayu yang dikenali sebagai Siti serta anaknya sementara pemandu Kelisa itu pula berbangsa India. Arwah merupakan jiran kepada salah seorang pensyarah di Fakulti kita dan tinggal di perumahan dua tingkat bersebelahan kampus Puncak Perdana.
Jan 16, 2009
Gempar Kepala Khinzir Di Universiti Malaya
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Pelajar Universiti Malaya (UM) pagi ini gempar dengan penemuan kepala seekor khinzir terbelah dua di hadapan pintu dalam surau Akademi Pengajian Islam universiti tersebut.
Kepala khinzir berkenaan dijumpai diletakkan di atas bendera PAS yang ditulis 'PMI, PRO M, PAS'.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi setelah disedari oleh penyokong kumpulan pro-Mahasiswa yang bertugas dalam kempen pilihan raya kampus Um yang akan diadakan 19 Januari depan.
Presiden pro-Mahasiswa UM, Norazali Zainuddin berkata kejadian itu merupakan provokasi terbaru pihak-pihak tertentu terutamanya sewaktu musim kehangatan pilihan raya kampus.
"Ini adalah satu lagi provokasi melampau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Tapi kali mereka lebih agresif kerana 'bermain' dengan sentimen agama dan perkauman," katanya kepada mStar Online.
Suaru Akademi Pengajian Bahasa menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab dipercayai kerana akademi tersebut merupakan kubu kuat bagi kumpulan pro-Mahasiswa.
Malah calon kumpulan berkenaan bagi kerusi akademi tersebut juga telah diisytiharkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon yang diadakan Rabu lalu.
Menurut Norazali lagi, satu laporan polis telah dibuat di balai polis Brickfield awal pagi tadi berhubung perkara itu.
Ditanya sama ada beliau mengesyaki mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan, beliau enggan membuat sebarang spekulasi namun percaya ia adalah perbuatan pihak yang 'tidak senang' dengan kumpulan pro-Mahasiswa terutamanya dengan pembongkaran isu rasuah yang didakwa melibatkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti itu, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris.
"Saya tak mahu tuduh siapa-siapa, namun kita berharap pihak polis menyiasat perkara ini.
"Sepanjang saya terlibat dengan pilihan raya kampus, ini adalah kejadian terburuk yang pernah saya alami," katanya.
Sumber : Mstar Online
--- tiada komen daripada saya, biar lah pihak yang ditugaskan menyiasat kes ini disiasat, namun penggunaan kepala babi yang diletakkan di dalam surau amat menyakitkan hati. Terdapat cubaan untuk melaga-lagakan sesama kita dengan tujuan untuk melemahkan lagi orang kita yang semakin lemah. Fikirlah dengan waras.
Jan 10, 2009
Program Pemantapan Siswa
Program ini secara keseluruhannya telah memberi manfaat kepada pelajar lepasan diploma fakulti agar dapat berinteraksi dengan lebih berkesan sesama mereka. Ia juga berjaya menghapuskan jurang yang mungkin wujud kerana mereka ini datang daripada kampus cawangan yang berbeza. Sementara untuk pelajar lepasan STPM, program ini memberikan pendedahan tentang teknik pembelajaran di universiti. Selain itu, pelajar lepasan STPM juga diberi latihan untuk menyesuaikan diri dengan fakulti dan juga kampus Puncak Perdana.
Tahniah kepada Timbalan Dekan Sumber dan Pelajar, En.Azman Mat Isa kerana melaksanakan program ini. Juga tahniah diberikan kepada pensyarah kanan IS220, En.Azmi Ab Rahman kerana menjadi orang kuat untuk program ini. Pensyarah-pensyarah fasilitator yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah En.Ahmad Soufiean, En.Ahmad Nazri, Puan Lisa, Puan Hasnah Hashim dan Puan Norhayati Husin dari IS221, En. Kamarul Azwan dan En.Nizam dari IS222, En.Mustafa Darimi (IS223) dan En.Muhammad Adnan (Kaunselor). Dr Noorman Masrek (IS221) dan En.Abd Rahman Ahmad (IS222) pula bertindak sebagai penceramah pada hari Jumaat. Tidak lupa juga kepada para pelajar yang membantu terdiri dari pihak IMSA (Information Management Student Association) dan juga PERFACT yang bertindak sebagai fasilitator pelajar.