Nov 13, 2008

Keganasan di Kuala Lumpur








Pemandu buat 'drift' kena belasah

  • Isnin, 10 November 2008 12 Zulkaedah 1429

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Lima termasuk dua wanita cedera dibelasah sekumpulan lelaki sedang membantu mangsa kemalangan di Jalan Loke Yew di sini, awal pagi semalam, kerana didakwa melakukan provokasi.

Kejadian jam 4 pagi itu dikatakan berpunca apabila pemandu Proton Iswara hitam yang tidak berpuas hati dengan kesesakan akibat kemalangan itu memandu secara berbahaya sambil membunyikan hon berulang kali.

Pemandu itu turut didakwa melanggar sebuah kereta yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian sehingga mencetuskan kemarahan kumpulan lelaki terbabit yang kemudian memecahkan cermin belakang keretanya sebelum dia beredar.

Bagaimanapun, pemandu itu dikatakan berpatah balik kira-kira setengah jam kemudian dan sekali lagi melakukan aksi berbahaya termasuk 'drift' di lokasi sama sebelum kenderaannya terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta.

Pemandu itu kemudian cuba melarikan diri dengan memandu ke arah Jalan San Peng kira-kira 30 meter dari tempat kemalangan, sebelum dikepung kumpulan berkenaan.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian dikatakan merosakkan kereta itu menggunakan topi keledar, kayu dan batu sebelum menarik pemandu dan empat penumpang kenderaan itu keluar dan membelasah mereka.

Difahamkan, tiga daripada mangsa termasuk seorang perempuan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan dibenarkan keluar beberapa jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Sulaiman Salleh, ketika dihubungi bagaimanapun berkata tiada sebarang laporan mengenai kejadian itu.

Terdahulu, dalam kemalangan itu, seorang pembonceng motosikal maut manakala empat lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta yang dikatakan berhenti mengejut di tengah jalan.

Syed Mohd Shahrizal Syed Sahari, 21, yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan 23 November ini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.



No comments: